Wednesday, October 14, 2009

Terapi Wuduk (Penghantar e-mail: En. Wan Nasriki Wan Hasan)

Satu artikel yang baik utk dibaca.

Kini terhidang di hadapan kita satu lagi kejadian yang sepatutnya mendorong para pengkaji menggali kesan-kesan positif satu lagi ibadat Islam, iaitu wuduk. Sebegitu banyak hadis dan ayat al-Quran menyuruh kita mengambil wuduk. Matlamat utama perbuatan itu ialah untuk menyucikan diri, sama ada dari kekotoran lahiriah mahu pun batiniah. Sebegitu banyak juga hadis Rasulullah s.a.w. menerangkan fadhilat atau kelebihan wuduk. Antaranya disebutkan tentang cahaya dari muka orang yang berwuduk itu akan menerangi hidupnya di alam barzakh.

Titisan air wuduk dari anggota yang dibasuh pula dikaitkan dengan penyucian dosa. Wuduk juga dikaitkan dengan amalan yang mendorong kesihatan kepada pengamalnya. Apatah lagi ia merupakan salah satu di antara perbuatan bersuci dalam Islam. Seseorang yang sering berwuduk akan memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan bersih, paling tidak pada anggota wajib wuduk, iaitu tangan, muka dan kakinya. Sebab itu apabila dinilai syor badan kesihatan dunia dalam menangani penularan wabak selsema babi (H1N1).

Kini, beberapa langkah disebutkan itu tidak lari dari perbuatan utama dalam berwuduk. Antaranya ialah membasuh tangan, membersihkan mulut dan hidung. Selain tiga pancaindera ini merupakan sebahagian daripada muka yang wajib dibasuh ketika berwuduk, Islam juga mensyariatkan membasuh tangan hingga ke siku. Disunatkan juga orang berwuduk itu berkumur-kumur dan melakukan istinsyak, yakni menyedut air ke hidung dan menghembuskannya kembali (untuk menyucikan rongga hidung), selain memulakan wuduk dengan membasuh pergelangan tangan. Selain ketika berwuduk, Rasulullah s.a.w. turut mengesyorkan umat Islam (amalan sunat) membasuh tangan dan menyucikan rongga hidung sebelum melakukan apa-apa yang lain sebaik bangkit dari tidur. Ada hadis menyebutkan "kita tidak tahu ke mana tangan kita pergi semasa tidur", dan "hidung sebagai tempat tidur syaitan tatkala kamu tidur".

Kesan positif ajaran dan amal ibadat dalam Islam terhadap manusia memang sudah dijangkakan. Sebagai umat Islam kita diyakinkan menerusi sebegitu banyak firman Allah dan sabda Junjungan Muhammad s.a.w. yang menegaskan kelebihan dan manfaat setiap ibadat yang kita laksanakan. Sememangnya bagi seorang yang benar imannya terhadap Allah, dia tidak memerlukan bukti kajian saintifik atas sesuatu ibadat atau amalan Islam sebelum melakukannya. Cukuplah ia diterima sebagai perintah Allah dan sabda Rasulullah s.a.w. yang mesti dipatuhi untuk mereka yakini bahawa kesemua perintah itu mengandungi segala macam hikmah dan manfaat yang tidak semestinya tergapai oleh pengkajian akal manusia.

Bagaimana pun, tidak salah bagi pakar perubatan dan ilmuan Islam kita mengambil kesempatan atas penularan wabak selsema babi kini untuk kita buktikan secara saintifik betapa amalan berwuduk yang diwajibkan Islam pada ketika tertentu dan disunatkan pada setiap masa itu sebenarnya terapi atau langkah preventif terbaik yang menepati ciri-ciri langkah pencegahan H1N1 disyorkan badan kesihatan dunia kini.

No comments:

Post a Comment